2025-12-08 HaiPress

FOTO RTM
KUALA LUMPUR,8 Disember - Langkah hibrid iaitu menggabungkan pembinaan pemecah ombak (breakwater) dengan tukun dilihat berpotensi mengawal isu hakisan pantai di Terengganu,kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air,Akmal Nasrullah Mohd Nasir .
Menurut beliau beberapa penelitaian telah dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bagi melihat kesesuaian kaedah tersebut.
"NAHRIM telah menjalankan penyelidikan terhadap konsep hibrid yang menggabungkan struktur kejuruteraan seperti benteng pemecah ombak dengan elemen berasaskan ekosistem iaitu struktur Wave Breaker And Coral Restorer (WABCORE).
"WABCORE ialah struktur pemecah ombak tenggelam yang turut berfungsi sebagai tukun tiruan. Berdasarkan siri ujian makmal dan lapangan,teknologi ini mampu mengurangkan tenaga ombak sehingga 60% bergantung kepada keadaan setempat."
Menurut beliau,keberkesanan teknologi itu terbukti melalui projek rintis di Seberang Perai Utara,Pulau Pinang,yang menunjukkan pengurangan hakisan pantai sehingga 30% dalam tempoh lima tahun,di samping meningkatkan produktiviti perikanan setempat.
Di Terengganu,WABCORE turut diuji di Pantai Rhu Muda,Marang pada 2018.
"Walaupun sebahagian struktur terjejas semasa Monsun Timur Laut (MTL),NAHRIM sedang menambah baik reka bentuknya bagi meningkatkan ketahanan dan keberkesanannya dalam menghadapi MTL.
"Potensi ekologi struktur hibrid ini juga dibuktikan melalui pemasangan WABCORE di Pulau Tinggi,Johor,di mana 40% permukaan struktur telah dilitupi terumbu karang dalam tempoh lima tahun."
Dalam pada itu,JPS menggabungkan kaedah struktur dan bukan struktur dalam kawalan hakisan pantai,khususnya melalui Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) Negeri Terengganu yang siap pada 2022.
"Pendekatan bukan struktur seperti zon penampan dan penyuburan pantai (beach nourishment) dan pendekatan struktur seperti pemecah ombak,lapis lindung batu serta penggunaan teknologi lain seperti Lapis Lindung ‘Concrete Armour Unit’ dan Lapis Lindung SAUH (Simplified Armour Unit H) dilaksanakan berdasarkan keperluan teknikal di sesuatu lokasi," ujarnya menjawab pertanyaan Senator Tuan Che Alias Hamid di Dewan Negara.
12-08
12-08
12-08
12-08
12-08
12-08
12-08
12-08
12-08
12-08